Teknik Pomodoro: Senjata rahsia saya ketika PhD – Part 2

Rasionalnya adalah istilah yang digunakan Professor Carl Newport, iaitu DEEP WORK (juga tajuk buku bestseller beliau). Apa-apa USAHA BERKUALITI perlu diberi FOKUS dan KOMITMEN yang tinggi. Dengan adanya gangguan daripada media sosial, kita tidak dapat buat kerja yang berfokus dan berkualiti tinggi. Sekejap notifikasi Facebook, sekejap Whatsapp berbunyi.

Walaupun mungkin sukar untuk kita tutup terus daripada dunia luar untuk beberapa jam, teknik Pomodoro ini memberi ruang untuk kita jalankan kerja berfokus yang tidak terlalu lama tetapi konsisten. Dengan mentaliti begini, kita mengatur sesi penulisan kita dengan lebih baik, tanpa risau kot-kot ada mesej/panggilan penting untuk kita lihat. Itu yang setiap 30 saat nak tengok fon sahaja! Dengan jarak masa yang pendek, kemungkinan besar tiada insiden besar/kecemasan yang berlaku ketika itu. Kalau ada sekali pun, paling lama kita tidak respon ialah 25 minit, tidaklah lama mana.

Mengetahui teknik ini di awal pengajian PhD saya, saya dapat tahu ada ‘Writing Cafe’ yang dibuat secara mingguan selama 3 jam menggunakan kaedah ini di universiti saya. Yang paling menarik, mereka sedia biskut dan kopi PERCUMA! (Jujurnya, saya asalnya ke sana kerana tawaran kopi tersebut!) Maka selama 4 tahun setiap pagi Jumaat dari 9 sampai 12, sebaik mungkin saya akan ikut sesi ini selama 2-3 jam. Kadang-kadang beberapa helai mukasurat dapat disiapkan. Kadang-kadang pula, mungkin beberapa perenggan saja kerana perlu merujuk/membaca sana sini. Tak mengapa, itu sebahagian daripada proses!

Yang paling saya suka, dapat rasa TERCAPAI SESUATU YANG BERMAKNA PADA MINGGU TERSEBUT. Hari jumaat selalunya hari orang lain hanya menantikan hujung minggu, selalunya kurang produktif. Tetapi dengan adanya sesi ini, saya bersama rakan dapat disiplinkan diri menghasilkan penulisan setiap minggu bersama-sama. ‘Menutup tirai’ minggu itu dengan kerja produktif, mengujakan bukan? Lagi-lagi bila buat bersama grup, kita rasa nak kekalkan disiplin. Kawan sebelah tengah menaip kencang ketika sesi Pomodoro, takkan kita nak mengelat layar Facebook?
Jadi, saya sangat syorkan untuk anda amalkan teknik ini. Mudah dan sangat berkesan, umpama disihir! Mungkin di awal pengajian, boleh seminggu sekali, dan tambah kekerapan ikut keselesaan.

CUMA, teknik ini lebih efektif apabila dibuat secara BERKUMPULAN. Lebih baik secara bersemuka, tetapi sekiranya ada kekangan, membuat sesi Pomodoro ini secara atas talian pun tidak mengapa.

Antara online timer terbaik untuk kaedah ini ialah https://www.marinaratimer.com/ tetapi boleh teroka, ada banyak pilihan!

Sumber:
1. https://francescocirillo.com/pages/pomodoro-technique
2. Buku Deep Work oleh Cal Newport

Kongsi Artikel ini: